Friday, February 22, 2013

Jenis-jenis Akad jual beli


Pensyariatan jual beli ini telah sabit dengan nas al-Quran, hadis dan juga ijmak. Terdapat lebih daripada sepuluh jenis akad jual beli dalam Islam yang boleh berlaku dalam bentuk dan gambaran yang berbeza. Antara jenis-jenis akad jual beli tersebut ialah:
  • Bai’ al-sil’ah bi al-naqd (بيع السلعة بالنقد): iaitu jual beli sesuatu barang dengan mata wang. Jenis ini adalah yang paling meluas berlaku dikalangan manusia. Contonya ialah membeli sehelai baju dengan Ringgit Malaysia atau US Dollar dan seumpamanya.
  • Bai’ al-muqayadhah (بيع المقايضة): iaitu jual beli sesuatu barang dengan barang, seperti menjual baju dengan beg atau menjual binatang ternakan dengan beras dan sebagainya.
  • Bai’ al-salam (بيع السلم): ialah jual beli sesuatu barangan secara tangguh dengan bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang telah disifatkan butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara terperinci dengan bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan barang ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.
  • Bai’ al-sharf (بيع الصرف): iaitu jual beli mata wang dengan mata wang yang sama atau berbeza jenis, seperti menjual emas dengan emas, perak dengan perak atau emas dengan perak, ringgit Malaysia dengan rial Saudi dan sebagainya.
  • Bai’ al-murabahah (بيع المرابحة): iaitu jual beli sesuatu barangan pada harga kos bersama tambahan margin keuntungan, seperti menjual sesuatu barangan berharga RM100 dengan harga kos dan ditambah pula margin keuntungan sebanyak RM10 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
  • Bai’ al-wadhiah (بيع الوضيعة): ia adalah lawan kepada jual beli secara murabahah, iaitu jaul-beli yang dibuat atas sesuatu barangan dengan harga yang lebih murah dari harga kos, seperti harga barangan adalah RM10 dan dijual dengan harga RM9 atau lebih rendah.
  • Bai’ al-tauliah (بيع التولية): ialah jual beli sesuatu barangan dengan harga kos tanpa ada lebih mahupun kurang dari harganya. Seperti barangan berharga RM100 dijual dengan RM100.
  • Bai’ al-urbun (بيع العربون): iaitu satu bentuk jual beli dimana pembeli membayar sejumlah wang pendahuluan. Sekiranya jual beli diteruskan maka wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan. Jika tidak, maka wang yang ini tidak akan dikembalikan kepadanya.
  • Bai’ al-talji’ah (بيع التلجئة): ialah suatu bentuk jual beli yang dibuat oleh penjual yang dalam kesempitan (terpaksa) kerana kuatir dan takut hartanya diambil oleh orang lain. Bagi menyelamatkan hartanya, ia bersepakat dengan seseoarang bagi menzahirkan akad jual beli dan menyembunyikan tujuannya yang sebenar. Seperti menjual rumah untuk mengelak dari dilelong oleh bank atau permiutang.
  • Bai’ al-wafa’ (بيع الوفاء): iaitu jual beli barangan dengan syarat apabila penjual membayar semula harga barangan yang dijual maka pembeli akan mengembalikan semula barangan yang dijual kepada penjual.
  • Bai’ al-istishna’ (بيع الاستصناع): iaitu jual beli dalam bentuk tempahan perbuatan barang tertentu dengan spesifikasi yang tertentu yang menghendaki penjual, pemaju, pengilan atau orang lain membuatkan barangan yang ditempah tersebut untuk pembeli. 
  • Bai’ al-inah (بيع العينة): iaitu jual beli yang berlaku antara penjual dan pembeli, di mana penjual menjual asetnya kepada pembeli dengan harga tangguh lebih tinggi, kemudian penjual membeli semula aset tersebut daripada pembeli dengan harga tunai yang lebih rendah. Keadaan sebaliknya boleh berlaku.

 [Pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, terbahagi kepada beberapa jenis iaitu sahih (صحيح) , batil(باطل), nafiz (نافذ), mauquf  (موقوف), lazim (لازم) dan ja’iz (جائز).]

  • Akad sahih ialah kontrak yang sempurna semua rukun dan syarat yang ditetapkan syarak dan tidak ada sebarang unsur dan sifat meragukan yang boleh mengeluarkannya dari dikira sah dari segi pensyariatannya. Hukum kontrak ini ialah sah dan sabit kesannya serta-merta sebaik sahaja selesai ijab dan qabul jika tidak ada khiyar dalam jual beli.
  •  Akad batil ialah kontrak yang tidak sempurna (cacat) syarat dan rukunnya. Hukum kontrak seperti ini ialah tidak sah dan tidak melahirkan sebarang kesan sedikit pun.
  • Akad nafiz ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan dan kuasa untuk melakukannya. Hukumnya ialah kontrak seperti ini menerbitkan kesan segera sebaik sahaja ia dibuat, tanpa tertakluk kepada kelulusan dan keizinan seseorang.
  • Akad mauquf ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan untuk berkontrak, tetapi dia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya seperti kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz bagi kontrak yang ada risiko untung dan rugi. Hukumnya ialah kontrak ini tidak boleh melahirkan sebarang kesan melainkan setelah mendapat kelulusan dan persetujuan oleh pemilik hak yang berkuasa melakukannya. Jika pemilik hak tidak mempersetujui atau meluluskannya maka kontrak itu menjadi batal.
  • Akad lazim ialah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli.
  • Akad jaiz ialah kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak wakalah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

back

get this widget here